PBBM TERIMA ANUGERAH RAKAN STRATEGIK PADA MAJLIS ANUGERAH SUKAN UiTM 2024

Shah Alam, 2 Julai 2025 – Majlis Anugerah Sukan UiTM 2024 telah berlangsung dengan penuh gemilang dan berprestij di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Anesee bin Ibrahim, Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi, sekaligus mengangkat martabat majlis sebagai platform tertinggi dalam mengiktiraf kecemerlangan warga sukan UiTM sepanjang tahun 2024.

Antara yang mencuri perhatian pada malam penuh penghargaan ini ialah penganugerahan Anugerah Rakan Strategik kepada Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM). Anugerah tersebut telah diterima oleh Encik Mohamad Fairol Saliken, Ketua Pegawai Eksekutif PBBM, bagi mewakili organisasi tersebut.

Penganugerahan ini diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap peranan aktif dan kerjasama strategik PBBM dalam memperkukuh ekosistem pembangunan sukan di UiTM. Sepanjang tahun 2024, PBBM telah bekerjasama rapat dengan UiTM dalam penganjuran Karnival Sukan Badan Berkanun Virtual Edition (SUKANUN VE) dan Sukan Pantai Badan Berkanun (SUPANUN), yang turut memberi impak besar kepada pembangunan atlet serta pengukuhan jaringan strategik antara badan berkanun dan institusi pengajian tinggi.

Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen jitu PBBM dalam menyokong agenda pembangunan modal insan berteraskan sukan, seiring dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dan hala tuju pembangunan negara.

Majlis ini turut memperkukuh jalinan kerjasama tiga hala antara universiti, agensi kerajaan, dan badan berkanun dalam usaha melahirkan bakat sukan yang holistik, berkualiti dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.